Posted on

Masalah Kulit Hilang Sendiri

Sumber Artikel:
http://www.hmetro.com.my/articles/Masalahkulithilangsendiri/Article

RAMAI ibu bapa yang pernah berhadapan dengan masalah kulit bayi yang mengalami kemerahan dan kasar pada bahagian pipi, dagu. leher serta anggota tubuh yang lain. Ramai juga yang beranggapan ia disebabkan terkena susu ketika menyusu.

ruam-bayi
RESAH…ruam yang tumbuh bukan penyakit tetapi alahan.

Masalah ruam tetap akan berlaku sama ada bayi minum susu secara campuran iaitu susu ibu dan susu formula ataupun menyusu badan. Ini kerana berkemungkinan bayi terbabit mengalami alahan kepada susu formula yang diambil juga daripada pemakanan si ibu.

Perunding Pediatrik Pusat Perubatan Prince Court, Dr Anthony James Mansul, berkata ruam susu ataupun ekzema kebiasaannya lebih banyak berlaku kepada bayi yang diberikan susu formula.

Keadaan ini disebabkan bayi terbabit mengalami alahan kepada susu berasaskan protein lembu yang diberikan, terutama bagi mereka yang berada pada peringkat usia yang masih muda.

Justeru, ibu bapa digalakkan menukar pemberian susu formula kepada susu soya bagi mengurangkan kesan alahan dialami.

“Ruam tidak akan berlaku dengan begitu saja kerana ia tetap memerlukan pencetus bagi memberikan lebih ‘kekuatan’ untuk ‘tumbuh’ dan biasanya masalah ini berpunca daripada faktor genetik ataupun secara semula jadi (iaitu bayi terbabit dilahirkan dengan potensi mengalami ekzema).

“Disebabkan itu, ibu bapa perlu memastikan setiap makanan yang diambil dan diberikan kepada bayi selamat untuk dimakan terutama pada peringkat awal tumbesaran mereka,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Seperti yang diketahui katanya, susu ibu adalah sejenis makanan dan jika dibiarkan pada kulit terlalu lama, ia akan menyebabkan berlakunya tindak balas bakteria dan fungus akan mudah membiak pada bahagian yang tidak dibersihkan.

Oleh itu untuk mengatasinya, si ibu perlu membersihkan segera segala baki susu yang terdapat di pipi bayi dan dapatkan krim yang sesuai untuk merawat ruam jenis ini.

“Perkara paling penting yang perlu dilakukan ibu bapa adalah menjaga persekitaran bayi agar sentiasa bersih bukan saja daripada segi makanan kerana ketika ini, bayi masih lagi dalam proses untuk membina daya tahan diri semula jadi mereka.

“Penting untuk memastikan bayi sentiasa berada dalam keadaan bersih. Masalah ruam menyebabkan bayi dalam keadaan tidak selesa hingga mempengaruhi mood dan ia boleh menyebabkan tekanan kepada si ibu dan bayi,” katanya.

Tidak dinafikan katanya, masalah ruam susu yang berlaku dalam kalangan bayi ini juga dianggap sebagai alahan terhadap susu yang diambil tidak kira sama ada melalui susu ibu ataupun susu formula.

Jika keadaan ini yang berlaku, biasanya ibu dinasihatkan untuk menyusukan bayi sepenuhnya atau jika terpaksa mencampur susu, gunakan susu berasaskan soya.

“Memang ada bayi yang disusukan dengan susu ibu mengalami masalah ini namun bukan disebabkan terkena susu ibu, tetapi lebih kepada kemungkinan bayi itu mengalami alahan terhadap sesuatu bahan.

“Jika si ibu memakan makanan yang tidak sesuai dan bayi alah pada makanan itu, ia juga boleh menyebabkan berlakunya ruam susu,” katanya.

Namun menurutnya, ibu ataupun bapa tidak perlu risau dengan masalah ini kerana kebanyakan masalah berkaitan kulit bayi bersifat sementara dan ia akan hilang dengan sendirinya.

Malah, ruam yang tumbuh itu juga bukan dikategorikan sebagai sejenis penyakit, tetapi berpunca daripada alahan. Bagaimanapun, ia masih boleh berlanjutan sehingga bayi itu menjangkau usia dua tahun, tetapi kes sebegini jarang berlaku.

“Ibu bapa perlu sentiasa memastikan makanan yang diberikan kepada bayi tidak mengandungi bahan yang menyebabkan alahan kepada mereka kerana ia tidak boleh dikesan dengan begitu saja, tetapi membabitkan pemerhatian berkala yang efektif.

“Jika anak mula menampakkan kesan alahan kepada bahan makanan yang diberikan, hentikan dengan segera kerana ruam sebegini memerlukan masa sekurang-kurangnya dua minggu untuk pulih terutama jika ia berapa pada peringkat yang agak teruk,” katanya.

Kebiasaannya ruam terbabit mula kelihatan sebelum umur bayi mencecah dua bulan dan kebiasaannya jelas kelihatan pada bahagian pipi.

Beliau berkata, bagi mengurangkan kesan ruam, ibu bapa boleh menggunakan sabun khas tanpa bahan pewangi dan tanpa sabun sebagai ejen pembersih.

“Walaupun tidak ‘menarik’ disebabkan tiada bau dan buih, ia jalan terbaik untuk mengurangkan ruam dialami anak mereka.

“Sementara itu, penggunaan pelembap juga perlu bagi memastikan kulit yang kering di kawasan ruam berkenaan tidak memberikan lebih kesan ketidakselesaan namun ia juga perlu daripada bahan tanpa pewangi,” katanya.

Di samping itu, ruam susu atau ekzema juga mempunyai hubung kait dengan penyakit asma dan apabila bayi menghadapi masalah itu, selalunya mereka juga akan mengalami batuk berkahak dan berhingus.

Katanya, keadaan ini berlaku disebabkan sistem pertahanan tubuh bayi terlalu tinggi sehingga menjadi amat sensitif kepada persekitaran terutama habuk walaupun dalam jumlah yang sedikit.

“Masalah ini berkaitan kerana ia adalah ‘penyakit’ yang dibawakan melalui kesan alahan yang menyebabkan daya tahan badan bayi berkenaan mengalami sedikit kekeliruan.

“Walaupun cara ia ‘dikeluarkan’ ataupun tumbuh berbeza tetapi tetap berada dalam kategori yang sama. Bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang sebelum ini mengalami ekzema mereka mempunyai risiko yang tinggi untuk mengalaminya,” katanya.

_

Posted on

Diabetes Semasa Hamil

Diabetes Semasa Hamil
Diabetes Semasa Hamil

Apakah Diabetes Melitus?


Diabetes Mellitus adalah sejenis gangguan atau ketidakaturan yang menghalang badan dari menggunakan makanan dengan berkesan. Karbohidrat ringkas (gula di dalam minuman ringan, kek, atau jem) dan karbohidrat kompleks (kanji di dalam nasi dan mee) akan dihadamkan di dalam badan untuk membentuk glukosa. Glukosa dalam aliran darah kemudiannya akan dicernakan di dalam pelbagai tisu badan dan proses ini dikawalatur oleh insulin. Insulin merupakan hormon yang dihasilkan oleh pankreas iaitu organ kecil yang terletak di belakang perut. Tanpa insulin, glukosa tidak dapat memasuki sel badan di mana ia digunakan sebagai sumber tenaga, sebaliknya glukosa akan terkumpul di dalam darah dengan berlebihan dan menyebabkan diabetes melitus.

 

Apakah yang dimaksudkan Diabetes Mellitus semasa kehamilan?

Diabetes Mellitus (GDM) semasa kehamilan merupakan keadaan di mana kandungan gula dalam darah tinggi semasa hamil dan ia dialami oleh sesetengah wanita.

 

Apakah bezanya antara diabetes semasa kehamilan dengan diabetes yang lain?

Di luar kehamilan, diabetes dikelaskan sama ada jenis 1 (Diabetes Mellitus bersandarkan insulin, IDDM) atau jenis 2 (diabetes melitus tidak bersandarkan insulin, NIDDM). Sebanyak 10% pesakit Diabetes menghidap

Diabetes jenis IDDM. Bagi kes IDDM, insulin yang dihasilkan oleh sel b-islet di dalam pankreas adalah tidak mencukupi atau tiada langsung. Manakala bagi NIDDM, reseptor insulin yang tidak sensitif dianggap menjadi penyebab utama masalah ini dan pesakit NIDDM biasanya gemuk. Semasa kehamilan, kesan insulin akan terganggu sedikit oleh berbagai-bagai hormon yang dihasilkan oleh uri. Ini dikenali sebagai rintangan insulin. Beberapa hormon seperti estrogen, kortisol dan “human placental lactogen” akan menyekat pengeluaran insulin. Ia biasanya bermula pada pertengahan kehamilan (20-24 minggu). Semakin uri membesar semakin banyaklah hormon-hormon ini dihasilkan dan semakin tinggi rintangan insulin yang terjadi. Bagi kebanyakan wanita, uri dapat menghasilkan insulin tambahan untuk mengatasi rintangan insulin. Jika ia gagal maka GDM akan berlaku. Biasanya pesakit akan pulih selepas melahirkan anak. Walau bagaimanapun pesakit menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk menghidap Diabetes kemudian nanti.

 

Adakah GDM kerap berlaku?

Ia berlaku sebanyak 3-12% daripada semua kehamilan.

 

Siapakah yang berisiko mengalami GDM?

Sesiapa sahaja boleh mengalami GDM semasa kehamilan. Pesakit yang sememangnya menghidapi diabetes melitus berisiko tinggi menghidap GDM. Namun, wanita boleh menghidap GDM tanpa sebarang penyakit diabetes sebelumnya. Faktor-faktor yang berkaitan dengan kemungkinan berlakunya GDM termasuklah:

  • Sejarah keluarga menghidapi diabetes.
  • Wanita berumur (>35 tahun).
  • Wanita gemuk dengan indeks jisim badan >30.
  • Mengalami masalah yang berkaitan semasa hamil seperti hipertensi, penghasilan cecair amnion berlebihan (polihidramnios), keguguran.
  • Pernah melahirkan bayi yang bersaiz besar sebelumnya, lahir mati, atau bayi yang dilahirkan cacat.
  • Kandidiasis faraj yang berulang-ulang dan jangkitan kulat pada kulit.

Bagaimana penyakit ini dikesan?

Lazimnya wanita tidak menunjukkan sebarang tanda amaran walaupun kemungkinan sesetengah wanita merasa teramat dahaga, kerap buang air kecil dan kelesuan. Ramai wanita yang menghidap GDM tidak menunjukkan sebarang faktor risiko. Sesetengah pusat rawatan menyediakan ujian saringan antara 24-28 minggu kehamilan. Namun dicadangkan anda menjalani ujian saringan glukosa (ujian kerintangan glukosa oral yang diubahsuai, MOGTT) jika terdapat faktor risiko.

 

Apakah ujian Tolerans Glukosa secara oral?

Ujian akan dijalankan selepas pesakit berpuasa semalaman dari pukul 10.00 malam sebelumnya. Sampel darah untuk menentukan paras gula dalam darah akan diambil pada awal pagi diikuti meminum glukosa (75 gm glukosa di larutkan dalam 250ml air). Ujian ini selesai apabila pengukuran paras gula dalam darah diambil 2 jam berikutnya

 

Intepretasi hasil ujian

Aras glukosa dalam plasma vena (mmol/l)
Puasa 2 jam selepas glukosa diambil
_Normal <6 <8
_Tolerans glukosa yang terganggu 6-8 8-11
_Diabetes >8 >11

Bagaimana diabetes memberi kesan ke atas kehamilan?

Ini bergantung pada tahap penjagaan kesihatan diri anda sendiri. Jika paras gula di dalam darah dapat dikawal dengan baik sepanjang kehamilan, komplikasi untuk mengalami masalah ini dapat dikawal dan dicegah. Jika paras gula di dalam darah berlebihan, maka ia akan berpindah ke bayi menerusi uri.

Janin akan bertindak balas dengan menukarkan glukosa yang berlebihan kepada lemak dan bayi ini akan menjadi terlalu besar (makrosomia). Bayi yang terlalu besar akan menimbulkan kesukaran ketika pelahiran dan kelahiran dan meningkatkan risiko untuk menjalani pembedahan Caesarean. Sebagai tambahan kepada makrosomia, GDM akan meningkatkan risiko hipoglisemia (paras gula yang rendah di dalam darah) semasa bayi baru dilahirkan.

Paras gula di dalam darah bayi akan diawasi dengan teliti semasa penjagaan bayi dan adalah perlu memberi glukosa secara intravena kepada bayi jika paras gula terlalu rendah. Bayi juga mudah terdedah kepada Jaundis, ketidakimbangan bahan kimia di dalam darah seperti paras serum kalsium dan magnesium yang rendah, masalah pernafasan mahu pun kecacatan bayi. Adalah dipercayai bahawa bayi yang bersaiz besar cenderung menjadi obes di masa akan datang. Semasa dewasa, mereka juga akan cenderung untuk menghidapi diabetes jenis 2 (diabetes yang tidak bersandarkan insulin).

Pemeriksaan ultrasound semasa antenatal adalah berguna untuk mengawasi saiz janin dan mengesan polihidramnios serta keabnormalan janin. Seperti pesakit diabetes yang lain, ibu yang hamil dengan GDM adalah berisiko tinggi untuk mengalami komplikasi seperti jangkitan pada saluran kencing, Diabetik Ketoasidosis, dan jangkitan kulat pada kulit. Mereka juga mudah terdedah kepada kelahiran pramatang disebabkan Polihidramnios dan bayi yang bersaiz besar.

 

Adakah GDM menjejaskan proses pelahiran dan kelahiran?

GDM itu sendiri bukanlah merupakan penunjuk bagi pembedahan Caesarean. Namun jika bayi terlalu besar untuk menjalani kelahiran normal melalui faraj, atau jika bayi dalam tidak dapat dilahirkan secara normal, maka kelahiran secara Caesarean sangat diperlukan. Jika bayi sangat besar, ia kemungkinan akan mengalami trauma semasa kelahiran, terutamanya kecederaan tulang dan saraf di sekitar bahu.

Jika terapi insulin diperlukan semasa kehamilan, anda akan diberi suntikan insulin pada waktu pagi semasa pelahiran bermula atau diberi melalui intravena sepanjang proses pelahiran. Selepas bayi dilahirkan paras gula di dalam darah biasanya akan kembali ke paras normal dan insulin tidak diperlukan lagi.

 

Bagaimana rawatan terhadap GDM?

Langkah pertama ialah mengawal paras glukosa di dalam darah dengan pengubahsuaian diet. Senaman sederhana secara tekal juga berguna untuk memperbaiki tolerans glukosa. Jika pendekatan melalui pemakanan tidak berkesan, terapi insulin diperlukan. Paras glukosa perlu diawasi selalu jika terapi insulin telah dimulakan. Jika anda memang menghidap diabetes dan bercadang untuk hamil, anda perlu berusaha untuk mengawal diabetes pada tahap optima beberapa bulan sebelum mengandung kerana paras glukosa yang tinggi semasa trimester pertama akan meningkatkan risiko kelahiran bayi cacat.

 

Mengapa diet yang khusus disyorkan?

Diet seimbang yang berkhasiat amat perlu untuk mengekalkan kesihatan ibu yang sihat dan kehamilan yang berjaya. Bagi wanita yang mengalami GDM, diet yang sempurna dapat memastikan paras gula dalam darah adalah normal dan secara amnya ia adalah langkah pertama yang dilakukan sebelum menggunakan terapi insulin. Tumpukan sepenuh perhatian terhadap pengambilan kalori setiap hari dan pemilihan makanan yang betul untuk mengekalkan paras gula di dalam darah. Keperluan kalori setiap hari meningkat sebanyak 300 kalori semasa trimester kedua dan ketiga kehamilan. Jika pengambilan kalori semasa tidak hamil adalah 1800 kcal sehari dan berat badan kekal, pengambilan kalori sebanyak 2100 kalori setiap hari adalah biasa dari tempoh 14 minggu kehamilan hingga proses kelahiran.

Berikut adalah pola pemakanan yang baik untuk mengekalkan paras gula yang normal di dalam darah:

  • Elakkan gula dan makanan yang tinggi kandungan gulanya (kek, aiskrim,
  • Mengambil karbohidrat kompleks (bijirin, kekacang, peas, sayur-sayuran, dan makanan berkanji).
  • Mengambil makanan yang kaya serat (buah-buahan, sayur-sayuran, legum, roti gandum tulen, dan lain-lain).
  • Memastikan diet yang rendah lemak, terutama lemak tepu (mentega, daging berlemak, krim dan lain-lain). Pilihlah hirisan nipis daging dan ayam tanpa kulit.
  • Elakkan makanan yang bergoreng.

Perlukah melakukan senaman?

Program senaman setiap hari dapat membantu anda merasa selesa,
mengurangkan ketegangan mahu pun mengelakkan sakit belakang, mengekalkan tona otot, kekuatan dan ketahanan. Bagi wanita yang menghidapi GDM, ia sangat penting. Selalu bersenam dapat meningkatkan keupayaan atau potensi insulin di dalam badan. Ini dapat memastikan paras normal gula di dalam darah disamping mengurangkan penggunaan insulin. Senaman yang sederhana juga dapat membantu mengurangkan selera makan dan menurunkan berat badan ke paras normal.

Ia sangat penting untuk mencegah paras gula yang tinggi di dalam darah. Walau bagaimanapun, penjagaan yang khusus perlu diambil untuk mengelakkan sukan atau senaman yang mungkin menyebabkan anda jatuh, atau yang melibatkan sentakan. Aktiviti berbasikal dan berjoging sebelum hamil merupakan contoh senaman yang baik untuk diteruskan semasa kehamilan. Berjalan-jalan adalah baik untuk wanita yang sebelum ini tidak aktif dan ingin mula bersenam semasa hamil. Senaman secara tekal selama 4-5 hari setiap minggu adalah perlu untuk merendahkan paras gula dalam darah. Berhenti bersenam jika anda merasa sakit, pening, sesak nafas, pitam, debaran jantung, sakit belakang atau sakit di bahagian pelvis, atau pernah mengalami pendarahan faraj.

The American College of Obstetricians & Gynecologists (ACOG) mencadangkan meminum cecair sebelum dan selepas senaman dan jika perlu, semasa sedang bersenam untuk mengelakkan dehidrasi. Terlalu kuat bersenam mungkin menyebabkan rahim dan janin tidak mendapat bekalan darah yang cukup. ACOG mengesyorkan wanita hamil mengukur kadar degupan jantung semasa melakukan aktiviti. Kadar degupan jantung ibu yang mengandung sepatutnya tidak melebihi 140 denyutan seminit.

 

Apakah yang berlaku jika amalan diet dan senaman gagal mengawal paras gula dalam darah?

Jika paras gula di dalam darah cenderung untuk melebihi julat normal, anda perlu mengambil suntikan insulin. Insulin tidak boleh diberi secara oral kerana ia akan dihadamkan seperti protein di dalam makanan dan menyebabkan kesan terapeutiknya hilang. Ia diberi secara suntikan di bawah kulit dengan  menggunakan jarum yang sangat halus, oleh itu anda akan merasa tidak selesa sedikit ketika suntikan diberi. Ia selalu dilakukan oleh anda sendiri dan anda akan diajar oleh doktor bagaimana untuk melakukannya. Jumlah insulin yang diperlukan untuk memastikan paras gula adalah dalam julat normal akan meningkat mengikut perkembangan kehamilan. Ini tidak bermakna GDM semakin teruk. Uri yang membesar seiring dengan berlanjutnya kehamilan akan menghasilkan paras hormon kontra-insulin yang lebih tinggi. Akhirnya anda memerlukan lebih insulin untuk mengatasi kesannya.

 

Adakah anda perlu mengambil insulin?

Ya. Ini kerana walaupun diet dijaga dengan baik, paras gula dalam darah sesetengah wanita masih tidak berada dalam julat yang boleh diterima. Wanita hamil yang bebas dari GDM jarang mempunyai paras glukosa dalam darah yang melebihi 6 mmol/l sebelum sarapan di waktu pagi atau 2 jam selepas bersarapan. Sasaran optima bagi pesakit GDM ialah mempunyai paras gula dalam darah yang sama dengan wanita yang tidak mengalami diabetes.

Jika paras gula ketika berpuasa melebihi 6 mmol/l atau jika 2 jam selepas makan, paras gula masih melebihi 8 mmol/l pada dua masa yang berasingan, terapi insulin amnya diperlukan. Keupayaan untuk melakukan sendiri pengawasan glukosa di dalam darah membolehkan terapi insulin dimulakan sebaik sahaja tanda awal paras gula yang tinggi dikesan. Dengan itu janin dapat dicegah dari terdedah kepada paras glukosa yang tinggi dalam darah ibu.

 

Bagaimana mengendalikan suntikan insulin?

Doktor atau jururawat terlatih akan mengajar anda teknik suntikan insulin apabila rawatan diperlukan. Ia merupakan suntikan yang biasanya dilakukan di bawah kulit di bahagian tisu subkutaneus. Kawasan suntikan yang biasa ialah bahagian lengan atas (kawasan deltoid) atau di bahagian anterior peha atas. Suntikan di bahagian abdomen patut dielakkan.

 

Penjagaan ubat-ubatan dan jarum

Insulin mesti disimpan di bahagian kering dalam peti sejuk, seperti di tempat menyimpan hasil tenusu. Jarum boleh digunakan berulang kali dengan syarat ia dibersihkan selepas digunakan dan dibuang apabila susah untuk disuntik atau apabila suntikan menyebabkan rasa sakit.

 

Apakah yang berlaku jika paras gula di dalam darah menjadi lebih rendah?

Paras gula yang rendah di dalam darah (hipoglisemia) merupakan komplikasi yang mungkin berlaku jika seseorang telah mengambil terapi insulin untuk GDM. Ini mungkin berlaku jika anda lambat mengambil sarapan atau bersenam lebih dari yang biasa. Ia merupakan kes kecemasan dan perlu dirawat dengan teliti. Jika terdapat gejala hipoglisemia (kekeliruan, pening, penglihatan kabur,

berpeluh, terketar-ketar, tersangat lapar) anda perlu mengambil sebarang bentuk gula dengan segera. Apabila anda menggunakan insulin, anda perlulah membawa gula atau makanan/minuman manis (kandi yang manis, minuman berglukosa) sebagai langkah berjaga-jaga. Doktor perlu diberitahu mengenai sebarang reaksi hipoglisemia yang berlaku. Ia mungkin menyebabkan pengubahsuaian terapi insulin yang anda jalani.

 

Apakah yang perlu dilakukan untuk mengurangkan masalah yang berkaitan dengan GDM?

Diet pesakit yang mengalami GDM mestilah mencukupi untuk membekalkan pemakanan yang dapat memenuhi keperluan ibu dan bayi yang sedang berkembang. Pada masa yang sama diet yang diambil boleh mengekalkan paras normal glukosa di dalam darah. Ibu yang menghidapi GDM boleh diajar caracara mengukur paras glukosa di dalam darah di rumah untuk memastikan ia berada di paras yang dibenarkan. Keupayaan pesakit untuk menentukan paras gula dalam darah melalui penggunaan peralatan merupakan satu lagi kejayaan penting dalam pengurusan penyakit diabetes. Teknik ini dikenali sebagai pemantauan sendiri glukosa di dalam darah dan ia membenarkan anda memeriksa sendiri paras gula darah sama ada di rumah atau di tempat kerja tanpa melibatkan kos dan menjimatkan masa untuk berjumpa doktor.

 

Apakah yang dimaksudkan pemantauan sendiri glukosa di dalam darah?

Apabila anda telah didiagnos menghidap GDM, adalah penting bagi anda mengetahui paras gula di dalam darah dari sehari ke sehari. Anda juga harus mengetahui bagaimana corak pemakanan dan cara senaman mempengaruhi paras gula di dalam darah anda. Semakin lanjut kehamilan, uri akan membebaskan lebih banyak hormon yang akan bertindak ke atas insulin. Menguji paras gula di dalam darah pada waktu tertentu dalam sehari dapat mengetahui jika diet yang sempurna dan peningkatan berat badan dapat mengekalkan paras normal gula di dalam darah atau jika insulin yang lebih diperlukan untuk melindungi janin. Pemantauan sendiri glukosa di dalam darah boleh dilakukan dengan mencucuk jari untuk mendapatkan titis darah dan disukat dengan menggunakan alat khas untuk mendapat bacaannya.

Doktor boleh menasihatkan anda bagaimana untuk mendapatkan alat ini. Anda mungkin perlu menguji darah anda beberapa kali dalam sehari. Secara amnya, ia dilakukan sebelum makan. Setiap pesakit boleh mempunyai jadual sendiri untuk tujuan pengukuran

 

Apakah ujian-ujian lain yang perlu diketahui?

Selain daripada ujian darah, anda juga dikehendaki untuk menjalani pemeriksaan air kencing untuk mengesan kehadiran keton. Keton adalah hasil sampingan dari penguraian lemak. Ia boleh dijumpai di dalam darah dan air  kencing akibat insulin yang tak mencukupi atau kalori yang tidak mencukupi dalam diet anda. Walaupun tidak diketahui jumlah keton yang boleh mengancam janin, keton yang banyak akan disertai dengan asidosis, iaitu satu keadaan yang boleh mengancam janin.

Sebagai langkah keselamatan, anda perlu mengawasi kehadirannya dalam air kencing dan melaporkan sebarang keputusan yang positif kepada doktor. Untuk menguji kehadiran keton di dalam air kencing, anda boleh menggunakan jalur ujian khusus yang telah dirawat dengan bahan kimia. Ujian dapat dilakukan dengan mendedahkan sehelai jalur pakai buang pada aliran air kencing atau mencelup jalur ke dalam bekas yang mengandungi air kencing. Jalur akan berubah warna bergantung kepada jumlah keton yang hadir di dalam air kencing. Warna jalur bolehlah dibandingkan pada carta untuk menunjukkan paras keton. Penasihat kesihatan boleh menasihatkan anda masa yang sesuai untuk melakukan ujian dan berapa kerap anda perlu melakukannya.

 

Adakah anda perlu mempunyai jadual pemeriksaan lanjutan antenatal?

Apabila anda disahkan menghidap GDM, anda dicadangkan untuk menjalani pemeriksaan antenatal setiap 2 minggu sehingga kehamilan anda berusia 32 minggu dan selepas itu lakukan pemeriksaan setiap minggu sehinggalah melahirkan bayi. Semasa pemeriksaan, imbasan ultrasound akan dilakukan untuk mengesan sebarang keabnormalan dan komplikasi di samping mengawasi tumbesaran janin. Profil gula di dalam darah akan diperiksa sekurang-kurangnya setiap 2 minggu untuk menilai keberkesanan pengawalan diabetes anda.

Posted on

Bayi & perkembangan setiap bulan

Bayi & perkembangan setiap bulan

Tidak ada dua orang kanak-kanak yang membesar tepat pada kadar yang sama. Setiap kanak-kanak itu berbeza dalam melakukan sesuatu aktiviti yang tertentu lebih awal atau kemudian daripada yang lain. Sebab itulah tidak mungkin diberikan jadual yang tepat tentang perkembangan seorang bayi dalam tahun pertama. Coraknya memang ada, walau bagaimanapun penerangan berikut adalah satu rajah tentang kemajuan dan tabiat seorang bayi secara bulanan. Berikut adalah rajah perkembangan bayi pada setiap bulan.

Bulan Pertama:

Bayi yang baru lahir boleh melihat bayang-bayang. Dia boleh mengecam dan tertarik kepada bunyi. Dia akan tidur sepanjang hari.

Bulan ke dua:

Bayi akan menoleh ke arah bunyi dan menangis dengan nada yang berlainan untuk memberi isyarat lapar, kurang selesa atau seronok. Bayi boleh memegang benda-benda dengan sendiri dan bayi boleh juga berjaga pada waktu yang lebih lama. Dia juga boleh tidur sepanjang malam.

Bulan ke tiga:

Bayi mula mengukir senyuman dan mengagah. Dia kurang menangis dan tidur lebih nyenyak pada waktu malam. Bayi pada peringkat ini biasanya boleh menegakkan kepalanya ketika meniarap.

Bulan ke empat:

Bayi lebih giat dan suka bermain. Dia memilih waktu menyusu untuk bermain dan men cuba sesuatu. Pandangannya lebih tajam dan dia suka pada warna terang.

Bulan ke lima:

Berat badan lahirnya dua kali ganda dan dia lebih aktif. Dengan bertambah’llya penguasaan belakang dan otot kakinya membolehkan dia mengimbang dirinya dengan sendiri dan duduk dalam masa yang agak lama. Dia mula mencapai sesuatu benda, menyelaras mata dan pergerakan tangan.

Bulan ke enam:

Sekarang dia boleh duduk dengan mudah. Dia mula menunjukkan pergerakan yang akan membawa kepada merangkak. Dia juga mula menyebut beberapa bunyi.

Bulan ke tujuh:

Kebanyakan bayi sekarang sudah aktif merangkak, mereka juga boleh memegang sesuatu benda atau mengubah benda itu dari satu tangan ke satu tangan lagi. Makan secara sendiri boleh dimulakan. Gigi mula tumbuh pda waktu ini dengan munculnya salah satu batang gigi kacip rahang bawah. Bayi mula menye.but perkataan seperti “mama” atau “dada”.

Bulan ke lapan:

Bayi mula berdiri, menggunakan sesuatu sebagai membantunya. Sekarang bayi anda bergerak dengan lebih baik, anda tidak harus meninggalkan benda-benda yang mungkin bahaya jika dimasukkan ke dalam mulutnya bertaburan.

Bulan ke sembilan:

Sekarang kebanyakan bayi pandai merangkak. Mereka cuba berdiri dengan sendirinya dengan sokongan sebelah tangan. Mula memahami arahan ataupun perkataan mudah.

Bulan ke sepuluh:

Bayi mula berjalan sekiranya kedua-dua belah tangannya dipegang. Dia menyambungkan perkataan dengan gerak-geri dan mengulangi perkataan atau bunyi berkali-kali.

Bulan ke sebelas:

Seorang bayi mungkin dapat berdiri dari keadaan duduk menjelang waktu ini. Apabila berdiri dia boleh menoleh ke kiri atau ke kanan. Dia boleh duduk bertinggung untuk mengambil sesuatu benda dan mula mengawal pergerakan sudu dari tangan ke mulutnya. Sekarang dia boleh bertutur beberapa patah perkataan yang boleh difahaminya.

Bulan ke dua belas:

Sekarang bayi itu bersiap sedia untuk melakukan langkah yang pertama. Kadang-kadang dia boleh berjalan digabungkan dengan gerakan lain seperti melambai atau membawa barang. Dia boleh memanjat katilnya atau kandang permainannya.

Posted on

Proses Kehamilan Dan Tanda Hamil

Kehamilan merupakan satu proses yang dinanti-nanti oleh pasangan yang berkahwin. Seperti yang kita ketahui, kehamilan akan berlaku selepas persenyawaan terjadi di dalam rahim, iaitu percantuman sel-sel benih lelaki dengan telur (ovum) melalui koitus atau persetubuhan.

Tanda-tanda permulaan hamil boleh dikesan dari pusingan haid yang tergendala pada waktu yang tertentu. Kehamilan juga boleh dipastikan apabila haid tidak terjadi pada tarikh tersebut. Ramai wanita akan mengalami pembengkakan buah dada dan ketidakselesaan bila menjelang kedatangan haid. Tetapi jika kehamilan berlaku, tanda-tanda ini akan lebih dirasai dan buah dada akan membesar, berdenyut serta puting buah dada akan menonjol.

Tanda-tanda ini berbeza tetapi buah dada akan bertambah besar dan puting menjadi besar serta hitam sebaik sahaja kandungan kian membesar. Kawasan disekeliling puting buah dada yang dipangil “areola” akan menjadi hitam sedikit dan membengkak. Di dalam bahagian ini terdapat saluran-saluran kecil yang terbuka ke arah “saluran susu” (milk duct) dan kelenjar-kelenjar halus. Ketika hamil saluran susu dan kelenjar halus akan membesar untuk membentuk follicle-follicle yang dinamakan “Montgomery’s Follicles”. Ia tidak dapat dikesan sehingga kehamilan berusia 8 minggu.

Perubahan-perubahan pada buah dada disebabkan oleh hormon seks wanita iaitu oestrogen dan progesterone yang dihasilkan oleh uri atau tembuni (placenta). Hormon-hormon ini menyebabkan pertumbuhan saluran-saluran dan pundi-pundi susu di dalam buah dada. Dan ia akan membawa kepada pengumpulan lemak di sekeliling susu yang bertindak mengawalnya.

Denyutan akan dirasai dari semasa ke semasa disebabkab oleh peningkatan aliran darah menerusi pembuluh-pembuluh darah yang dibekalkan kepada buah dada.

Hampir keseluruhan wanita-wanita mengandung akan mengalami loya dan muntah-muntah. Biasanya keadaan ini akan terjadi pada waktu pagi. Punca-punca terjadinya loya, mual dan muntah ini tidak dapat dikesan. Tetapi pakar doktor berpendapat, keadaan ini disebabkan pertumbuhan hormon-hormon seks yang dihasilkan ketika proses kehamilan. Keadaan ini akan menjadi normal semula setelah kandungan berusia 12 minggu.

Ketika kandungan berusia lebih kurang 18 – 20 minggu, gerakan pertama bayi akan dirasai. Gerakan “foetus” menjadi lebih kuat dan kerap bila usia kandungan meningkat. Seseorang ibu akan dapat meneliti jangka waktu pergerakan dan jangka waktu rehat bayi yang dikandungnya. Ketika bayi tidak bergerak, kemungkinan bayi di dalam kandungan tidur. Jika jangka waktu aktif dan jangka waktu rehat yang dikandung selaras dengan jangka waktu ibunya, ini merupakan satu keadaan yang baik. Tetapi terdapat bayi yang dikandung mempunyai pergerakan yang aktif diwaktu malam. Ini mungkin mendatangkan ketidakselesaan pada ibunya. Jika pergerakan bayi terlalu aktif, benjol atau bengkak akan timbul pada rahim. Bengkak atau benjol ini akan hilang dengan sendirinya. Ini akan dapat dirasai oleh ibu yang mengandungkan bayi itu. Bengkak dan bonjol adalah disebabkan oleh pergerakan anggota bayi yang merengang otot rahim. Ada juga bayi-bayi yang kurang aktif dan ada ibu-ibu yang tidak dapat merasai pergerakan bayi mereka. Ini tidak bermakna bayi yang dikandungnya tidak bernyawa.

Kekerapan membuang air kecil merupakan satu tanda kehamilan pada peringkat awal dan pada akhir kehamilan. Pada bulan terakhir kehamilan, kekerapan membuang air kencing adalah disebabkan oleh tekanan kepala bayi ke atas pundi kencing, terutamanya pada waktu malam.

 

 Salindah, Set Hamil  & Set Bersalin

salindah set hamil & set bersalin

Posted on

Fakta Kelahiran Kembar

 

Fakta Kelahiran Kembar

 

  • Mengikut kajian, kehamilan kembar berlaku sekali dalam setiap lapan puluh kehamilan. Kejadian ini biasanya berlaku secara spontan dan tiada siapa yang boleh mengawal kejadian ini. Kelahiran kembar seringkali berlaku berulang kali dalam sesebuah keluarga.
  • Selain faktor keturunan, penggunaan ubat penyubur telah menyumbang kepada peningkatan peratus kejadian kehamilan kembar dan berganda (multiple pregnancy). Misalnya, dengan menggunakan ubat penyubur clomiphene iaitu sejenis pil yang diberi kepada wanita yang kurang subur, kadar kejadian kehamilan kembar di kalangan mereka antara empat hingga lima peratus.
  • Dengan penggunaan ubat suntikan yang lebih kuat lagi iaitu hormon yang digelar gonadotrophin kejadian kehamilan kembar meningkat berganda lebih tinggi mungkin dalam lingkungan 20 hingga 30 peratus.
  • Kejadian kehamilan kembar dan berganda bergantung kepada bilangan benih yang dikeluarkan oleh pihak wanita. Pada kebiasaannya seseorang wanita hanya mengeluarkan satu benih dalam satu pusingan haid. Benih ini dikeluarkan pada pertengahan pusingan haid.
  • Setelah persenyawaan berlaku menerusi percantuman antara benih lelaki dengan benih perempuan, embryo akan terbentuk. Jika dua benih perempuan dikeluarkan serentak, maka kedua-dua benih perempuan yang disenyawa akan menghasilkan dua embryo yang berlainan.
  • Pasangan kembar yang dihasilkan daripada satu telur, yang kemudiannya pecah untuk menghasilkan dua jasad akan menjadi pasangan kembar satu uri.
  • Kembar yang dihasilkan begini biasanya mempunyai jantina yang sama, sama ada kedua-duanya lelaki atau perempuan, rupa paras yang sama dan juga sifat dan perwatakan yang hampir-hampir sama. Pasangan kembar yang dihasilkan daripada dua telur atau kembar tidak seiras (non-identical twin) biasanya mempunyai jantina yang berbeza iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan manakala rupa paras, perwatakan dan sifat mereka adalah tidak sama.

 

Fakta Lajut Kelahiran Kembar

 

  • Dalam keadaan normal, satu kembar akan berlaku daripada 80 kehamilan.
  • Kejadian kandungan kembar sedikit dipengaruhi oleh baka dan keturunan.
  • Peluang mendapat anak kembar bagi wanita yang sedang menjalani rawatan kesuburan dan makan pil subur (clomiphene) ialah antara 5-10 peratus
  • Wanita yang menerima suntikan hormon subur atau menjalani rawatan bayi tabung uji, peluang dapat anak kembar ialah 20-30 peratus.
  • Kembar seiras terjadi apabila persenyawaan satu sel telur berpecah yang biasanya berlaku pada tempoh masa satu hingga 14 hari selepas penghamilan.
  • Kembar seiras mempunyai genetik, kromosom dan raut fizikal yang sama tetapi bukan keseluruhannya benar-benar sama.
  • Kembar seiras mempunyai persamaan dari segi jantina, jenis darah, warna rambut dan mata, hidung, telinga dan bentuk bibir.
  • Kadar kelahiran kembar seiras dianggarkan pada 4/1,000 setiap kelahiran dan ia terjadi secara kebetulan.
  • Kembar seiras sering mengisi masa bersama dan akrab di antara satu sama lain. Walaupun mereka menyukai orang lain, namun mereka tetap memilih untuk bersama dengan pasangan kembar mereka terutamanya semasa kecil.
  • Selepas usia 9 atau 10 tahun, kembar seiras biasanya memilih untuk membentuk identiti mereka yang tersendiri.

 

Posted on

Salindah Bahaya?

Tahniah jika anda sudah disahkan hamil, sama ada kali pertama atau seterusnya!

Ibu-ibu hamil disarankan untuk mengambil makanan berkhasiat dan seimbang untuk kepentingan nutrisi ibu dan anak yang sedang dikandung. Antara makanan yang baik untuk diamalkan ketika mengandung antaranya adalah makanan sunnah seperti kurma, kismis, delima, madu, susu kambing dan saffron. Makanan ini baik untuk pertumbuhan bayi, juga kesihatan ibu dan bayi.

Selain itu makanan tambahan khusus untuk kegunaan semasa mengandung atau selepas bersalin juga boleh diamalkan sebagai ikhtiar untuk mendapatkan zat-zat yang diperlukan.

 

Antara produk makanan tambahan yang ada sebagai pilihan ialah Salindah.

  • Nak tahu tak macam mana Salindah mendapat namanya? Klik di sini
  • Nak baca perkongsian pengalaman pengguna Salindah? Klik di sini

Cabaran Salindah

Walaupun secara rasminya produk Salindah mula dijenamakan pada sekitar tahun 1980 (dah lebih 35 tahun sekarang!) namun sebenarnya ia bermula lebih awal dari tarikh itu: sebelum ia dinamakan & dijenamakan lagi.

Perjalanan produk Salindah bukan pendek & mudah: banyak cabarannya.

Bila dilihat dari sudut positifnya, jika kita di sebut-sebut sama ada yang baik-baik atau sebaliknya, itu bermakna kita dikenali dan sedang mendapat perhatian.

Salindah bukanlah satu-satunya produk berkaitan kehamilan ynag ada di pasaran: terpulang kepada pengguna untuk membuat pilihan sama ada berdasarkan bajet, jenama atau jenis formula produk tersebut.

.

Kredit banner: fb/Irfan Khairi 

.

Ini antara persoalan yang kami terima dari pengguna kepada kami berkenaan produk Salindah. Persoalan sebegini kami terima dari masa ke masa:

Nak tahu situasi sebenar dan jawapannya? Klik di sini

Posted on

Kehamilan Kembar: Apa risikonya?

Kehamilan Kembar: Apa risikonya?

SEKIRANYA anda diberitahu oleh doktor bahawa anda sedang hamil dengan kandungan kembar, sudah pasti ia adalah satu berita yang amat menggembirakan anda serta pasangan.

Tetapi pada masa yang sama doktor juga akan menerangkan kepada anda bahawa kehamilan kembar adalah kehamilan yang berisiko tinggi. Tentu ia agak mencemaskan anda.

Namun, jangan biarkan ia menjadi penghalang untuk anda mempelajari tentang risiko kemungkinan yang berkaitan kehamilan kembar, sama ada kembar dua, tiga atau lebih.

Dengan memahami kemungkinan risiko, komplikasi kehamilan kembar dan juga rawatan yang berkaitan, anda akan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku sekiranya sesuatu masalah berlaku pada kandungan anda.

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya kehamilan kembar:

  • Faktor keturunan. Keluarga sebelah ibu.
  • Bilangan kandungan terdahulu. Lebih ramai anak lebih tinggi kemungkinan mengalami kehamilan kembar.
  • Umur yang agak lanjut ketika pertama kali hamil.
  • Rawatan kesuburan. Ubat subur menyebabkan pengeluaran telur (ovum) lebih daripada satu dan kaedah pemindahan lebih daripada satu embrio ke dalam rahim semasa proses permanian berhadas (in vitro fertilization/IVF).

Tanda-tanda kehamilan kembar

Ia berbeza antara seorang ibu yang hamil kembar dengan seorang yang lain. Ada wanita yang hamil kembar, tetapi tidak mengalami langsung gejala kehamilan yang teruk.

  • Loya dan muntah-muntah yang teruk disebabkan oleh kepekatan hormone HCG yang tinggi di dalam darah.
  • Peningkatan berat badan mendadak pada trimester pertama (tiga bulan pertama). Ini berlaku akibat peningkatan isipadu darah dan peningkatan berat rahim yang berganda berbanding kehamilan biasa.
  • Ibu hamil kembar merasai pergerakan bayi yang sangat banyak.
  • Mengalami rasa letih yang keterlaluan akibat penggunaan tenaga dan kalori yang berganda.
  • Saiz rahim lebih besar dari umur kandungan.

Jenis-jenis kandungan kembar

1- Monozigotik/kembar seiras

Melibatkan 1/3 dari kes-kes kehamilan kembar yang terjadi apabila berlakunya persenyawaan antara satu ovum dan satu sperma yang kemudiannya terbahagi.

Pembahagian awal embrio:

  • Tiga hari pertama selepas persenyawaan, menjadi dua atau lebih janin dengan dua uri berasingan.
  • ntara empat hingga tujuh, menjadi dua atau lebih janin dengan berkongsi satu uri tetapi berada di dalam kantung amnion berlainan.
  • Antara lapan hingga 13 hari, menjadi dua atau lebih janin yang berkongsi satu uri dan di dalam satu kantung amnion.
  • Lebih dari 13 hari, menjadi kembar siam.

2-  Dizigotik/kembar tak seiras

Meliputi 2/3 daripada kes-kes kehamilan kembar. Ia terjadi apabila dua atau lebih ovum tersenyawa. Setiap janin mempunyai uri, kantung amnion dan kantung korion yang berasingan.

Risiko kandungan dan kelahiran kembar

Ibu dan bayi terdedah kepada beberapa risiko kemungkinan. Risiko pada bayi:

1- Kelahiran pramatang.

Risiko yang paling kerap berlaku menyebabkan meningkatnya kes-kes kematian akibat komplikasi pramatang dan jika hidup, bayi-bayi pramatang itu memerlukan rawatan rapi dalam jangka masa yang lama di dalam unit rawatan rapi neonatal (bayi baru lahir).

Purata umur kandungan berlakunya kelahiran pramatang dan bilangan kandungan

Kembar dua: 37 minggu
Kembar tiga: 33 minggu
Kembar empat: 31 minggu

(Kelahiran cukup bulan adalah pada 38 minggu atau lebih)

2- Masalah kembar monokorionik.

Keadaan yang berlaku pada janin kembar yang berkongsi satu uri. Ini menyebabkan berlakunya persilangan pada saluran darah di dalam uri menyebabkan ketidakseimbangan aliran darah di antara janin-janin itu.

Satu janin terlebih bekalan darah dan janin kembarnya pula kurang mendapat bekalan darah. Jika keadaan ini tidak dirawat, ia akan mendatangkan bahaya pada kedua-dua bayi dengan kadar kematian lebih 80 peratus.

Penemuan teknologi terkini bagaimanapun membolehkan para doktor untuk merawat keadaan ini melalui pembedahan khusus menggunakan laser.

3- Masalah kembar monokorionik-monoamniotik.

Keadaan ini berisiko tinggi kerana berlakunya masalah kelahiran pramatang, tumbesaran terencat, kecacatan kongenital/sejak lahir dan tali pusat terbelit antara satu sama lain.

Ketika di dalam kandungan, keadaan ini dapat dikesan apabila selaput yang memisahkan antara kembar tidak kelihatan semasa pemeriksaan ultrasound dilakukan pada kandungan itu.

Ia boleh menyebabkan kadar kematian lebih dari 50 peratus. Tiada rawatan khusus untuk keadaan ini. Pada amnya ibu yang hamil kembar dengan komplikasi ini memerlukan pemerhatian khusus dan dimasukkan ke hospital.

Bayi-bayi ini mungkin terpaksa dilahirkan lebih awal dari sepatutnya untuk mengelakkan komplikasi mati dalam kandungan.

Masalah kembar seperti ini termasuklah;

i- Kembar akardiak.

Salah satu dari kembar itu tidak mempunyai jantung, atau jantung kecil ataupun ada jantung tetapi tidak berfungsi.

Tetapi sebahagian besar pengaliran darah mengalir kepada sistem aliran darah kembar yang tidak normal itu dan ini seterusnya menyebabkan berlakunya masalah pada aliran darah kepada jantung kembar yang normal dan boleh menyebabkan berlakunya kegagalan jantung pada kembar normal.

ii- Kembar siam.

Berlaku antara 1 hingga 3.5 bagi setiap 1,000 kelahiran kembar. Ia bukanlah akibat perlekatan kembar-kembar itu tetapi sebenarnya akibat pembahagian yang tidak lengkap di awal peringkat embrio.

Pada amnya, 40 peratus daripada kembar siam dilahirkan mati, 35 peratus mati selepas 24 jam dilahirkan dan jika hidup mereka terpaksa menjalani pembedahan yang sangat berisiko tinggi.

iii- Kematian salah satu kembar di dalam kandungan.

Jika kematian salah satu kembar itu berlaku di awal kandungan, ia tidak menyebabkan kemudaratan kepada kembar yang masih hidup.

Tetapi kematian salah satu kembar di peringkat akhir kandungan akan mendedahkan kembar yang hidup kepada masalah kelahiran pramatang, kecacatan sistem saraf dan palsi serebral.

Kembar yang masih hidup besar kemungkinan perlu dilahirkan agak awal sebaik sahaja paru-parunya dijangkakan sudah matang.

Risiko pada ibu

* Kencing manis semasa mengandung.

Ibu yang hamil dengan kandungan kembar didapati berisiko dua kali ganda untuk menghidapi kencing manis semasa mengandung.

Ini disebabkan oleh kepekatan hormon yang lebih tinggi yang menyebabkan gangguan pada proses penghasilan insulin dalam darah ibu.

* Masalah berkaitan uri.

Ibu yang hamil dengan kandungan kembar berisiko tinggi mengalami masalah uri di bawah (previa plasenta) dan uri terlekang dari dinding rahim (placenta abruption).

Ini boleh menyebabkan berlakunya komplikasi pendarahan yang teruk semasa mengandung atau selepas melahirkan.

* Darah tinggi semasa mengandung.

Lebih kurang 30 peratus daripada ibu hamil kembar akan mengalami masalah ini. Ia berlaku akibat peningkatan isipadu darah yang sangat tinggi.

Rawatan yang perlu termasuklah rehat yang mencukupi dan mungkin juga ubat- ubatan. Keadaan ini juga mendedahkan ibu kepada masalah praeklamsia dan komplikasi sawan semasa mengandung.

* Masalah jantung.

Ibu yang hamil kembar didapati 13 kali lebih berisiko untuk mengalami masalah kegagalan jantung. Dan risiko untuk mendapat serangan jantung juga meningkat sebanyak empat kali ganda.

Sekiranya seseorang itu hamil dengan kandungan kembar, ia haruslah menyedari tentang risiko-risiko kemungkinan yang akan berlaku pada bayi dalam kandungannya dan juga kesihatan diri.

Mereka haruslah mendapatkan rawatan pakar di peringkat awal lagi supaya sebarang komplikasi dapat dikesan awal dan seterusnya mendapat rawatan yang sewajarnya.

Sumber Rujukan:
DR. RASLIZA RAMLI
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Kajang Selangor
Utusan malaysia Online