Artikel

Kehamilan Kembar: Apa risikonya?

SEKIRANYA anda diberitahu oleh doktor bahawa anda sedang hamil dengan kandungan kembar, sudah pasti ia adalah satu berita yang amat menggembirakan anda serta pasangan.

Tetapi pada masa yang sama doktor juga akan menerangkan kepada anda bahawa kehamilan kembar adalah kehamilan yang berisiko tinggi. Tentu ia agak mencemaskan anda.

Namun, jangan biarkan ia menjadi penghalang untuk anda mempelajari tentang risiko kemungkinan yang berkaitan kehamilan kembar, sama ada kembar dua, tiga atau lebih.

Dengan memahami kemungkinan risiko, komplikasi kehamilan kembar dan juga rawatan yang berkaitan, anda akan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku sekiranya sesuatu masalah berlaku pada kandungan anda.

 

Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada berlakunya kehamilan kembar:

  • Faktor keturunan. Keluarga sebelah ibu.
  • Bilangan kandungan terdahulu. Lebih ramai anak lebih tinggi kemungkinan mengalami kehamilan kembar.
  • Umur yang agak lanjut ketika pertama kali hamil.
  • Rawatan kesuburan. Ubat subur menyebabkan pengeluaran telur (ovum) lebih daripada satu dan kaedah pemindahan lebih daripada satu embrio ke dalam rahim semasa proses permanian berhadas (in vitro fertilization/IVF).

 

Tanda-tanda kehamilan kembar

Ia berbeza antara seorang ibu yang hamil kembar dengan seorang yang lain. Ada wanita yang hamil kembar, tetapi tidak mengalami langsung gejala kehamilan yang teruk.

  • Loya dan muntah-muntah yang teruk disebabkan oleh kepekatan hormone HCG yang tinggi di dalam darah.
  • Peningkatan berat badan mendadak pada trimester pertama (tiga bulan pertama). Ini berlaku akibat peningkatan isipadu darah dan peningkatan berat rahim yang berganda berbanding kehamilan biasa.
  • Ibu hamil kembar merasai pergerakan bayi yang sangat banyak.
  • Mengalami rasa letih yang keterlaluan akibat penggunaan tenaga dan kalori yang berganda.
  • Saiz rahim lebih besar dari umur kandungan.

 

Jenis-jenis kandungan kembar

1- Monozigotik/kembar seiras

Melibatkan 1/3 dari kes-kes kehamilan kembar yang terjadi apabila berlakunya persenyawaan antara satu ovum dan satu sperma yang kemudiannya terbahagi.

Pembahagian awal embrio:

  • Tiga hari pertama selepas persenyawaan, menjadi dua atau lebih janin dengan dua uri berasingan.
  • ntara empat hingga tujuh, menjadi dua atau lebih janin dengan berkongsi satu uri tetapi berada di dalam kantung amnion berlainan.
  • Antara lapan hingga 13 hari, menjadi dua atau lebih janin yang berkongsi satu uri dan di dalam satu kantung amnion.
  • Lebih dari 13 hari, menjadi kembar siam.

 

2-  Dizigotik/kembar tak seiras

Meliputi 2/3 daripada kes-kes kehamilan kembar. Ia terjadi apabila dua atau lebih ovum tersenyawa. Setiap janin mempunyai uri, kantung amnion dan kantung korion yang berasingan.

 

Risiko kandungan dan kelahiran kembar

Ibu dan bayi terdedah kepada beberapa risiko kemungkinan. Risiko pada bayi:

1- Kelahiran pramatang.

Risiko yang paling kerap berlaku menyebabkan meningkatnya kes-kes kematian akibat komplikasi pramatang dan jika hidup, bayi-bayi pramatang itu memerlukan rawatan rapi dalam jangka masa yang lama di dalam unit rawatan rapi neonatal (bayi baru lahir).

Purata umur kandungan berlakunya kelahiran pramatang dan bilangan kandungan

Kembar dua: 37 minggu
Kembar tiga: 33 minggu
Kembar empat: 31 minggu

(Kelahiran cukup bulan adalah pada 38 minggu atau lebih)

2- Masalah kembar monokorionik.

Keadaan yang berlaku pada janin kembar yang berkongsi satu uri. Ini menyebabkan berlakunya persilangan pada saluran darah di dalam uri menyebabkan ketidakseimbangan aliran darah di antara janin-janin itu.

Satu janin terlebih bekalan darah dan janin kembarnya pula kurang mendapat bekalan darah. Jika keadaan ini tidak dirawat, ia akan mendatangkan bahaya pada kedua-dua bayi dengan kadar kematian lebih 80 peratus.

Penemuan teknologi terkini bagaimanapun membolehkan para doktor untuk merawat keadaan ini melalui pembedahan khusus menggunakan laser.

3- Masalah kembar monokorionik-monoamniotik.

Keadaan ini berisiko tinggi kerana berlakunya masalah kelahiran pramatang, tumbesaran terencat, kecacatan kongenital/sejak lahir dan tali pusat terbelit antara satu sama lain.

Ketika di dalam kandungan, keadaan ini dapat dikesan apabila selaput yang memisahkan antara kembar tidak kelihatan semasa pemeriksaan ultrasound dilakukan pada kandungan itu.

Ia boleh menyebabkan kadar kematian lebih dari 50 peratus. Tiada rawatan khusus untuk keadaan ini. Pada amnya ibu yang hamil kembar dengan komplikasi ini memerlukan pemerhatian khusus dan dimasukkan ke hospital.

Bayi-bayi ini mungkin terpaksa dilahirkan lebih awal dari sepatutnya untuk mengelakkan komplikasi mati dalam kandungan.

 

Masalah kembar seperti ini termasuklah;

i- Kembar akardiak.

Salah satu dari kembar itu tidak mempunyai jantung, atau jantung kecil ataupun ada jantung tetapi tidak berfungsi.

Tetapi sebahagian besar pengaliran darah mengalir kepada sistem aliran darah kembar yang tidak normal itu dan ini seterusnya menyebabkan berlakunya masalah pada aliran darah kepada jantung kembar yang normal dan boleh menyebabkan berlakunya kegagalan jantung pada kembar normal.

ii- Kembar siam.

Berlaku antara 1 hingga 3.5 bagi setiap 1,000 kelahiran kembar. Ia bukanlah akibat perlekatan kembar-kembar itu tetapi sebenarnya akibat pembahagian yang tidak lengkap di awal peringkat embrio.

Pada amnya, 40 peratus daripada kembar siam dilahirkan mati, 35 peratus mati selepas 24 jam dilahirkan dan jika hidup mereka terpaksa menjalani pembedahan yang sangat berisiko tinggi.

iii- Kematian salah satu kembar di dalam kandungan.

Jika kematian salah satu kembar itu berlaku di awal kandungan, ia tidak menyebabkan kemudaratan kepada kembar yang masih hidup.

Tetapi kematian salah satu kembar di peringkat akhir kandungan akan mendedahkan kembar yang hidup kepada masalah kelahiran pramatang, kecacatan sistem saraf dan palsi serebral.

Kembar yang masih hidup besar kemungkinan perlu dilahirkan agak awal sebaik sahaja paru-parunya dijangkakan sudah matang.

 

Risiko pada ibu

* Kencing manis semasa mengandung.

Ibu yang hamil dengan kandungan kembar didapati berisiko dua kali ganda untuk menghidapi kencing manis semasa mengandung.

Ini disebabkan oleh kepekatan hormon yang lebih tinggi yang menyebabkan gangguan pada proses penghasilan insulin dalam darah ibu.

* Masalah berkaitan uri.

Ibu yang hamil dengan kandungan kembar berisiko tinggi mengalami masalah uri di bawah (previa plasenta) dan uri terlekang dari dinding rahim (placenta abruption).

Ini boleh menyebabkan berlakunya komplikasi pendarahan yang teruk semasa mengandung atau selepas melahirkan.

* Darah tinggi semasa mengandung.

Lebih kurang 30 peratus daripada ibu hamil kembar akan mengalami masalah ini. Ia berlaku akibat peningkatan isipadu darah yang sangat tinggi.

Rawatan yang perlu termasuklah rehat yang mencukupi dan mungkin juga ubat- ubatan. Keadaan ini juga mendedahkan ibu kepada masalah praeklamsia dan komplikasi sawan semasa mengandung.

* Masalah jantung.

Ibu yang hamil kembar didapati 13 kali lebih berisiko untuk mengalami masalah kegagalan jantung. Dan risiko untuk mendapat serangan jantung juga meningkat sebanyak empat kali ganda.

Sekiranya seseorang itu hamil dengan kandungan kembar, ia haruslah menyedari tentang risiko-risiko kemungkinan yang akan berlaku pada bayi dalam kandungannya dan juga kesihatan diri.

Mereka haruslah mendapatkan rawatan pakar di peringkat awal lagi supaya sebarang komplikasi dapat dikesan awal dan seterusnya mendapat rawatan yang sewajarnya.

 

Sumber Rujukan:
DR. RASLIZA RAMLI
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Kajang Selangor
Utusan malaysia Online

X