Masalah-masalah dalam pantang

Darah Nifas

Wanita yang baru bersalin akan mengalami turun darah nifas yang hampir sama bentuknya dengan darah haid. Jangka waktu nifas lebih panjang daripada darah haid; purata lebih kurang dua minggu. Jika nifas berpanjangan melebihi jangka waktu ini, atau berlaku tumpah darah yang banyak mungkin ini menandakan gangguan atau penyakit dalam rahim.

 

Tumpah Darah

Tumpah darah selepas bersalin atau post-partum haemorrhage biasa berlaku sebaik sahaja wanita melahirkan anak sama ada selepas uri dilahirkan ataupun sebelum uri dilahirkan dan ia terlekat dalam rahim. Keadaan tumpah darah yang begini amatlah berbahaya kerana biasanya ia berlaku dengan tidak semena-mena dan pendarahan boleh berlaku dengan amat banyak sehingga boleh meragut nyawa ibu.

 

Tumpah darah ketika ataupun sebaik sahaja lepas bersalin masih menjadi punca utama kematian ibu di Malaysia, khususnya ibu yang melahirkan anak di rumah. Masalah ini juga kerap dialami oleh ibu yang telah banyak kali melahirkan anak. Akibatnya rahim menjadi lemah dan tidak boleh kuncup dengan kuat untuk mengelakkan kejadian tumpah darah. Keadaan ini juga boleh berlaku di hospital atau di pusat-pusat kelahiran khususnya mereka yang mengalami kerumitan ketika melahirkan anak seperti kelahiran dengan cara forsep. Namun demikian jika ia berlaku di hospital atau pusat-pusat kelahiran, biasanya ia boleh diselamatkan kerana adanya kemudahan rawatan dalam bentuk tranfusi darah serta kakitangan yang boleh mengendalikannya.

 

Jika kelahiran berlaku di rumah ia sering mengakibatkan maut. Wanita yang mengalami masalah seperti urinya terlekat dan tidak boleh dikeluarkan dalam tempoh satu jam selepas bayi dilahirkan, akan mengalami masalah tumpah darah yang banyak. Oleh itu jika uri tidak boleh dikeluarkan, bawalah wanita itu segera ke hospital. Di sesetengah negeri di Malaysia ada satu pasukan ala flying squad yang boleh dipanggil untuk mendapatkan rawatan cemas di rumah.

 

Tumpah darah selepas bersalin mungkin juga boleh berlaku dalam masa 48 jam selepas bersalin atau bila-bila masa dalam seminggu selepas bersalin. Jika ia berlaku dalam masa 48 jam walaupun uri telah dikeluarkan, ini mungkin menandakan kuncupan rahim tidak begitu kuat ataupun sebahagian daripada uri atau selaput bayi masih tertinggal dalam rahim. Pendarahan mungkin juga disebabkan oleh jangkitan kuman dalam rahim. Setiap pendarahan yang berlaku dan melebihi had biasa perlu mendapat perhatian doktor dan jika ia berlaku dengan banyaknya pesakit perlu dibawa segera ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana ini boleh mengancam nyawa ibu.

 

Sebaiknya keadaan ini boleh dijauhkan dengan menentukan beberapa perkara:

 

Pertama:

Ketika bayi dan uri dilahirkan tentukan setiap sudut uri diperiksa. Pemeriksaan ini untuk menentukan uri sempurna dilahirkan dan tiada bahagian, cebisan atau sisa-sisa yang tertinggal dalam rahim.

 

Kedua:

Jauhkan daripada sakit beranak yang terlalu panjang dan berlarutan (prolonged labour). Ini adalah salah satu faktor yang menyebabkan tumpah darah berlaku. Bayi perlulah dilahirkan secara forsep atau pembedahan jika kesakitan bersalin melebihi hadnya. Wanita yang mengalami tumpah darah itu perlulah diberi tranfusi darah ataupun apa sahaja cecair yang sesuai dan mudah terdapat pada ketika itu jika darah tidak boleh didapati. Juga tentukan rahim itu kuncup. Jika ia tidak kuncup, suntikan ubat ergometrine akan diberikan untuk menentukan rahim kuncup untuk menahan pendarahan. Pesakit ini perlu menjalani pembedahan kecil untuk membersihkan sisa-sisa uri atau selaput bayi yang mungkin tertinggal dalam rahim. Proses yang digelar evacuation of the uterus ini perlu dilakukan di bilik bedah.

 

Jangkitan Kuman Pada Pundi Air Kencing

Salah satu masalah yang kerap dialami oleh wanita selepas bersalin ialah jangkitan kuman pada pundi air kencing. Masalah ini juga sering dialami oleh wanita hamil kerana aliran air kencing menjadi perlahan dan bertakung akibat rahim yang membesar. Ketika proses kelahiran berlaku, pundi air kencing menjadi sasaran menyebabkan ia tertekan, terhimpit dan kadangkala tercedera.

Doktor perlu memasukkan alat catheter untuk mengeluarkan air kencing  yang mungkin bertakung oleh sebab proses kelahiran. Ini boleh menyebabkan jangkitan kuman. Apabila jangkitan kuman berlaku, wanita itu kerap membuang air kecil tetapi sedikit-sedikit dan terasa sakit atau pedih. Jika tanda-tanda ini berlaku, perlulah perhatian doktor. Air kencing perlu diperiksa untuk menentukan sama ada rawatannya hanyalah dengan memakan ubat antibiotik selama lima hari atau seminggu.

 

Jangkitan Kuman Pada Luka Dan Rahim

Selain daripada pundi air kencing, jangkitan kuman juga boleh berlaku pada luka di bahagian kemaluan, luka oleh sebab pembedahan sesarean dan luka pada rahim iaitu luka yang berlaku  apabila uri dilahirkan. Jagaan dan kebersihan pada tempat-tempat yang luka sangat penting untuk menjauhkan jangkitan kuman. Penting juga wanita meningkatkan sistem pertahanan diri supaya serangan kuman dapat dielakkan. Ini boleh dicapai melalui pemakanan yang seimbang kandungan zatnya.

 

Pengambilan pil vitamin perlu diteruskan supaya tahap kesihatan dapat ditingkatkan dan seterusnya boleh mengelakkan serangan kuman.

 

Luka pembedahan sesarean boleh dijangkiti kuman menyebabkan takungan nanah atau abcess. Wanita itu akan terasa sakit berdenyut-denyut pada luka menjadikannya merah. Takungan nanah ini perlu dibedah untuk mengeluarkan nanah. Rawatan secara dressing akan dilakukan setiap hari di samping ubat antibiotik untuk dimakan. Luka episiotomi juga boleh menimbulkan masalah jika jahitannya terbuka sebelum sembuh. Keadaan ini digelar breakdown. Kejadian ini biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman atau takungan nanah pada luka.

 

Jika ini berlaku pembedahan kecil perlu dilakukan untuk setiap hari. Masalah pada luka ini jika tidak dirawat dengan betul boleh menimbulkan masalah jangka panjang seperti terasa sakit ketika mengadakan hubungan kelamin. Oleh itu, setiap wanita perlulah menjaga kebersihan serta menjauhkan masalah jangkitan kuman pada luka di kemaluan.

 

Jangkitan kuman pada rahim juga boleh berlaku. Tanda-tanda bagi jangkitan kuman pada rahim ialah demam panas, sakit perut dan lendir yang berbau.

 

Lendir

ini biasanya bercampur darah nifas. Masalah tumpah darah juga mungkin berlaku akibat jangkitan kuman. Rawatan yang khususnya ialah dengan makan ubat antibiotik. Jika ada sisa-sisa uri atau selaput bayi tertinggal dalam rahim, ini memerlukan pembersihan secara D&C yang dilakukan di hospital.

 

Masalah Buah Dada

Beberapa masalah buah dada boleh berlaku selepas bersalin. Pertama, bengkak buah dada atau breast engorgement. Ini biasanya disebabkan oleh saluran susu pada puting tetek tersekat. Untuk menjauhkan masalah ini penting bagi setiap bakal ibu membersihkan puting buah dada dengan air bersih. Urutlah buah dada ke arah puting untuk memudahkan aliran susu. Jika buah dada selalu diurut, nescaya masalah saluran puting susu tersumbat boleh diatasi. Bengkak buah dada biasanya kerap berlaku di kalangan ibu yang tidak menyusukan anaknya.

 

Sebaiknya setiap ibu patut menyusukan bayinya dengan susu sendiri kerana khasiat makanan yang terkandung di dalamnya. Susu ibu sudah tersedia dan apa yang lebih pentingnya penyusuan ibu dapat merapatkan hubungan emosi antara bayi dan ibu. Bagi ibu yang telah membuat keputusan tidak akan menyusukan anaknya, masalah bengkak buah dada boleh diatasi dengan memakan ubat yang khusus untuk menyekat pengeluaran susu. Ubat ini mengandungi hormon estrogen yang dimakan lebih kurang lima hari. Ubat terbaru di pasaran untuk menyekat pengeluaran susu dan mencegah bengkak dan sakit buah dada ialah Bromocryptine yang dimakan selama beberapa hari.

 

Bengkak buah dada boleh menimbulkan masalah jangkitan kuman, mengakibatkan mastitis. Ini menyebabkan rasa sakit serta demam panas. Bagi mengawal keadaan ini, perlulah ibu berjumpa doktor yang kemudiannya akan memberi ubat antibiotik dan juga penawar sakit. Masalah jangkitan kuman pada buah dada boleh berlarutan menimbulkan masalah nanas atau abcess. Jika keadaan ini berlaku satu pembedahan kecil perlu dilakukan di hospital untuk mengeluarkan nanah itu.

 

Ubat antibiotik, penawar sakit dan juga hormon untuk menyekat pengeluaran susu akan diberikan bagi merawat abcess ini.

 

Amalan menyusukan bayi dengan susu sendiri boleh mengatasi masalah yang saya nyatakan di atas. Di samping itu, kajian telah menunjukkan penyusuan ibu mungkin boleh menghindarkan atau mengurangkan risiko penyakit kanser buah dada. Oleh itu saya sering menasihatkan ibu  menyusukan bayinya sendiri kerana menyusu sendiri itu amat banyak faedahnya. Penyusuan juga dikehendaki oleh agama Islam seperti yang ternyata dalam Surah al-Baqarah 233 yang bermaksud bahawa ibu patut menyusukan bayinya selama dua tahun.

 

Masalah Emosi

Dalam masa pantang, sesetengah ibu yang baru melahirkan anak kerap mengalami tekanan jiwa dan emosi. Tekanan ini memang telah wujud sejak ibu hamil dan berterusan hingga melahirkan anak. Ketika pantang pula ibu perlu memberi jagaan yang rapi kepada bayinya.

 

Tekanan fizikal dan mental mempunyai kesan yang kuat terhadap jiwa dan emosi ibu. Akibat tekanan darah ini segolongan wanita mengalami masalah kemurungan (depression) atau ada yang lebih teruk lagi mengalami masalah sakit jiwa (pueperal psychosis). Dalam keadaan yang amat menekan jiwa ada segelintir wanita yang cuba membunuh diri. Tekanan jiwa dan emosi ini boleh dijauhi jika sokongan dan nasihat yang sewajarnya dapat diberikan oleh orang yang penting dalam hidupnya seperti suami.

 

Si isteri sepatutnya diberi bantuan, bukan sahaja bantuan fizikal dari segi jagaan terhadap isteri dan bayi yang baru lahir, tetapi juga sokongan moral. Saudara mara khususnya ibu wanita itu boleh juga membantu mengatasi masalahnya.

 

Jika ada tanda-tanda ibu itu mengalami kesedihan atau sakit jiwa, penting bagi suaminya membawa ibu ini berjumpa doktor atau pakar sakit jiwa supaya keadaan ini tidak akan berlarutan sehingga menimbulkan pueperal psychosis yang boleh membahayakan nyawa ibu. Pada masa ini, lingkungan keluarga menjadi semakin kecil. Sokongan moral dari saudara-mara makin berkurangan dan ini adalah salah satu faktor yang boleh mengakibatkan ramai wanita mengalami masalah emosi dan jiwa selepas bersalin. Sebaiknya hidup secara tradisi dengan mengamalkan keluarga luas atau extended family patut diteruskan supaya wanita yang baru bersalin dapat menghindarkan gejala-gejala emosi dan jiwa.

X